Esok 1 Februari 2012 dan tinggal lebih kurang 13 hari lagi tibanya Valentine's Day. Sebagai seorang muslim, Pak Udak nak kongsikan sedikit Hukum Meraikan Valentine's Day bagi orang Islam.
|
Sumber: E-Fatwa |
Fatwa Hukum Umat Islam
Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day)
PENGENALAN
Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika
dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan
rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Ada yang saling bertukar-tukar bunga
ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta
dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama
minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin,
bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya
sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada
teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama
yang mengharuskan mereka berbuat demikian.
Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari
Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk
mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.
” Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa
disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak
masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku
dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun
begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan
budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar
dan menginsafkan mereka. Harus diingat
mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu
tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat
Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja
menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah
mereka.
KEPUTUSAN FATWA
Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut
Hari Kekasih ( Valentine’s Day ) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti
oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah
bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah.
Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil
keputusan sebagaimana berikut :
Alhamdulillah fatwanya adalah
seperti berikut :
” Amalan merayakan hari
kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan
tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan
perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan
aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG
daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut. ”
NOTA
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal
1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 Miladiah di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju
memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day, tidak pernah dianjurkan
oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsure-unsur kristian dan amalannya
yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh
Islam.
KETERANGAN/HUJAH
Antara hujah keputusan
tersebut adalah seperti berikut :
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan
hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan
Islam. Di dalam Islam tidak ada hari
tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat
menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari
kasih sayang. Islam menolak konsep kasih
sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual
keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.
Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada
seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut
adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh
Valentine’s Day. Kebanyakan golongan
remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang
dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan
merosakkan generasi umat Islam akan datang.
Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi
paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol dan juga
merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol.
Oleh itu Ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengigati
kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya
seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di
Sepanyol.
Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara
satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan
seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia
bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau meransang kepada
yang dilarang dan maksiat.
Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14
Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah
kita umat Islam menjadikan setiap hari senagai bersatunya Ukuwah Mukminin
sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan
ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan
musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta
pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan
penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.
#################
Bagi Pak Udak hukumnya jelas, sebagai seorang Islam kita seharusnya menjauhi perkara-perkara yang bersangkutpaut dengan agama lain. Kalau nak tunjukan kasih sayang, buat pada setiap hari dengan syarat pada isteri yang sah. Kalau kepada kekasih baik tak payah sebab kalau buat dapat dosa dan soal akidah tolong jangan remeh-remehkan.