MIRI: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Wilayah Miri dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Miri berjaya menganjurkan kem kemahiran pada 13 dan 14 April lalu. Kem itu merupakan salah satu aktiviti tahunan PPKS Miri di samping menerima undangan SMV Miri selaku sekolah angkat PPKS. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan dengan harapan para pelajar dapat memahami kepentingan bidang kemahiran dan seterusnya menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat pada masa hadapan. Program selama dua hari itu disertai oleh semua pelajar aliran Sijil Kemahiran Malaysia dan Vokasional. Pada hari pertama, para pelajar mengikuti ceramah bertajuk ‘Hala Tuju Pelajar SKM selepas SPM 2011’ di Dewan Perdana. Ceramah selama dua jam setengah itu disampaikan Pegawai Hal Ehwal Pelajar di PPKS Miri, Dilah Tuah yang antara lain menyelitkan ceramah motivasi bagi menyuntik semangat pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM kelak. Pada hari kedua, seramai 10 orang tenaga pengajar PPKS Miri yang diketuai oleh Rosmawati Priman, Pengurus Program dan Pengajian PPKS mengadakan sesi bengkel bagi lima buah kursus teras yang terdapat di PPKS Miri. Antara kursus yang terlibat ialah Mekatronik (Automasi), Elektronik Industri, Rekaan Grafik, Sistem Maklumat dan Sistem Komputer. Bengkel yang bermula pada jam 8 pagi dan sepatutnya berakhir pada 10.30 pagi dilanjutkan sehingga jam 2 petang berikutan penyertaan positif daripada pelajar SMV Miri. Penyelaras program, Salwana Silaluddin program ini pada dasarnya dianjurkan untuk memberikan pendedahan serta panduan yang jelas kepada pelajar aliran Sijil Kemahiran Malaysia untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi khususnya dalam bidang kemahiran. PPKS berharap akan dapat mengadakan lebih banyak kem kemahiran di sekolah-sekolah menengah di sekitar bandar raya Miri, khususnya untuk menarik lebih ramai lepasan SPM meneruskan pengajian di PPKS. Pada masa kini, PPKS Miri giat menjalankan aktiviti promosi bagi kemasukan pada 4 Julai 2011. Sesiapa yang berminat untuk melanjutkan pengajian di PPKS Miri, hubungi Nurasrawati Ibrahim menerusi talian 085-622184 untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Note: Write up done by Udak Dilah For Borneo Post.
No comments:
Post a Comment